Mohd Roji Kawi


SEJUMLAH barangan seludup bernilai RM2.54 juta berjaya dirampas pasukan di bawah naungan 1 Divisyen Infantri, Tentera Darat di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat bagi tempoh Januari hingga Jun ini.

Panglima 1 Divisyen Infantri Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustapha berkata, kejayaan itu adalah hasil rondaan dan sekatan dalam beberapa operasi yang dijalankan antaranya Op Awas/Keris Parang dan Op Jaga Kawan.

Beliau berkata, barangan seludup yang dirampas itu termasuk kenderaan, dadah dan barangan terkawal.

"Sejak 22 Mei lalu pula, 1 Divisyen Infantri terbabit dalam Op Benteng yang dilaksanakan bersama agensi lain antaranya Pasukan Gerakan Am, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kesihatan.

"Dalam operasi itu, kami meningkatkan kawalan keselamatan bagi menangani sebarang kejadian yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kedaulatan negara terutama dalam menangani jenayah rentas sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Hari Ulangtahun ke-54 1 Divisyen Infantri di Padang Kawad, 4 Kor Armor Diraja, Kuching.

Dzulkafli berkata, seramai 24 pegawai dan 539 anggota dari pasukan di bawah naungan 1 Divisyen Infantri terbabit dalam Op Benteng ketika ini.

"Dalam operasi itu, kami mengusir pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negeri ini melalui jalan tikus di sempadan.

"Sepanjang penugasan di sempadan juga, kita mendapati kegiatan penyeludupan kenderaan dan barangan berskala besar dilakukan di tanah persendirian tetapi kami dapat menanganinya dengan menjalankan beberapa tangkapan termasuk menahan tekong yang membawa masuk PATI," katanya sambil memaklumkan sebahagian besar kegiatan itu dilakukan di sempadan Malaysia-Indonesia di kawasan Biawak, Lundu.

Sementara itu, beliau berkata, 1 Divisyen Infantri merancang membina satu lagi kem bagi mengukuh keupayaan mengawal keselamatan di negeri ini.

PANGLIMA 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa, dan isteri hadir di Majlis sambutan Hari Ulang Tahun Divisyen Pertama Infantri Malaysia Ke-54 di Padang Kawad, 4 Kor Armor Diraja, Kem Penrissen Kuching. FOTO Nadim Bokhari
PANGLIMA 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa, dan isteri hadir di Majlis sambutan Hari Ulang Tahun Divisyen Pertama Infantri Malaysia Ke-54 di Padang Kawad, 4 Kor Armor Diraja, Kem Penrissen Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Menurutnya, kem berkenaan dirancang dibina di Bakun bagi menempatkan sekurang-sekurangnya satu kompeni anggota dari Rejimen Sempadan.

"Kem itu nanti akan menempatkan anggota untuk mengukuhkan kawalan di kawasan empangan Hidroelektrik Bakun dan kini kami masih menunggu keputusan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan difahamkan kerajaan Sarawak sudah memberi maklum balas positif berhubung penyediaan tapak untuk membina kem terbabit," katanya.

Mengenai perbarisan yang diketuai Ketua Staf Markas 1 Divisyen Infantri Kolonel Mohd Akib Yusof itu, beliau berkata, ia adalah yang pertama diadakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

"Perbarisan hari bersejarah sempena ulangtahun penubuhan 1 Divisyen Infantri ini dijalankan secara ringkas tetapi membawa makna yang besar terhadap ketumbukan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 3:27 PM