JOHOR BAHRU 03 JULAI 2020. Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor.KHIS/MOHD AZREN JAMALUDIN
JOHOR BAHRU 03 JULAI 2020. Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor.KHIS/MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


KERTAS siasatan 18 penjawat awam yang bersengkongkol dengan sindiket menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati) di negeri ini sudah siap dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan susulan Jabatan Peguam Negara termasuk untuk tindakan pendakwaan kesemua suspek berkenaan.

"Insya-Allah besar kemungkinan semua suspek akan dituduh dan tidak ada akan terlepas.

"Namun, kita tunggu apa arahan selanjutnya dari Jabatan Peguam Negara, " katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Pada 18 Jun lalu media melaporkan, polis Johor menahan 18 anggota penguat kuasa termasuk seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan Pati di negeri ini yang dikesan aktif sejak 2017.

Kesemua suspek membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini, seorang anggota pangkat rendah Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, anggota pangkat rendah bertugas di Bukit Aman (dua) dan anggota pangkat rendah bertugas di IPD Kota Tinggi (sembilan).

Polis Johor dilaporkan turut menahan dua pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat yang kesemuanya ditahan di sekitar negeri ini susulan operasi khas antara 15 Jun hingga awal pagi 18 Jun lalu.

Khamis lalu pula, seramai 51 anggota Geng Otong dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang kerana mendalangi sindiket penyeludupan pendatang asing, antara 2015 hingga tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai sama ada akan ada penahanan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia Johor susulan penahanan pegawai kanan wanita jabatan itu, Rabu lalu, Ayob Khan berkata, akan ada tangkapan susulan jika pihaknya mempunyai bukti kukuh.

"Insya-Allah, jika ada asas yang kuat selain bukti kukuh, tangkapan susulan akan dilakukan.

"Tidak akan ada noktah dalam isu sindiket penyeludupan Pati. Saya tidak akan berhenti di sini dan akan terus mengadakan operasi berterusan.

"Kita tidak boleh hangat-hangat tahi ayam. Hari ini kita buat operasi sehari, selepas itu berhenti setahun.

"Saya akan pastikan operasi berterusan untuk menghapuskan aktiviti penyeludupan Pati, jika tidak ia tidak akan habis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 2:12 PM