GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


WILAYAH Persekutuan membuat keputusan mengekalkan solat Jumaat satu sesi saja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

"Kita hanya melihat (solat Jumaat) kepada satu sesi kerana itu lebih bertepatan Mazhab Syafie di samping memikirkan suasana lain.

"Sebab itu kita benarkan solat dalam masjid, tepi masjid dan kawasan yang sesuai dengan SOP (prosedur operasi standard) penjarakan sosial.

"Jadi isu solat Jumaat dua sesi secara rasminya di Wilayah Persekutuan kita tidak praktikkan dan tetap dengan satu sesi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Infaq Daging anjuran Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Mitron Sdn Bhd di PPR Kerinchi, hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya juga memberi kebenaran kepada surau untuk menunaikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, surau perlu memohon kebenaran itu daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pejabat Mufti.

"Mereka (jawatankuasa surau) perlu mendapatkan pandangan, fatwa atau arahan mengenainya," katanya.

Beliau berpandangan isu solat Jumaat sudah selesai dengan kebenaran memaksimumkan penggunaan kawasan atau ruang solat di masjid dan surau.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 12:33 PM