DR Irmohizam. FOTO Arkib NSTP
DR Irmohizam. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

PERSATUAN Pusat Dagangan Dunia (WTCA), persatuan perdagangan antarabangsa terkemuka dianggotai 322 pusat dagangan seluruh dunia, menamakan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasific (Persidangan & Pameran) baharu.

Beliau adalah rakyat Malaysia pertama dipilih memegang jawatan berkenaan.

Sebagai pengerusi, beliau bukan sahaja berperanan mempengerusikan dan menetapkan agenda mesyuarat untuk semua pusat dagangan dunia seluruh Asia Pasifik, tetapi menentukan hala tuju dan memimpin perbincangan serta projek relevan dengan Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik dan menggalakkan penyertaan pusat dagangan dunia lain ke dalam persatuan.

Terkini, Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik sedang bekerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif WTCA, Scott Ferguson dalam program Akses Asia untuk mempromosikan pusat dagangan dunia (WTC) dan perniagaan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Dr Irmohizam berkata, beliau berbesar hati dengan perlantikan itu dan berharap dapat menyumbang kepada idea baru.

"Terutama dalam meningkatkan daya maju industri seterusnya memacu perkembangan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui kemasukan semula persidangan dan pameran antarabangsa ke Malaysia.

"Saya mengharapkan kerjasama padu daripada seluruh anggota persatuan supaya dapat meneruskan keterbukaan serta bersikap inklusif dengan semua ahli untuk menyumbang ke arah persatuan lebih baik dan ingin menjadikan Malaysia sebagai hub lokasi persidangan dan pameran dunia," katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Jawatan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik adalah selama setahun dengan kemungkinan pelantikan semula untuk menjalani penggal tambahan seterusnya.

Selain menjalankan inisiatif ditetapkan WTCA, Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik akan bekerjasama dengan anggota majlis lain yang wujud di dunia termasuk APAC, EU, ASEAN untuk menentukan projek tambahan yang bersesuaian.

Untuk rekod terdapat 93 pusat dagangan dunia di Asia Pasifik berdaftar di bawah WTCA antaranya ialah Pusat Dagangan Dunia Sydney, Pusat Dagangan Dunia Beijing, Pusat Dagangan Dunia Taipei, Pusat Dagangan Dunia Metro Manila dan Pusat Dagangan Dunia Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 4:12 PM