EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo (dua dari kiri) bersama Pengurus Agensi CNI Jalan Perak, Cheng Lee Yen (kanan) menyerahkan pelitup muka kepada Ahli Lembaga Pengarah Penang Buddhist Free School, Kim Lee Zun (dua dari kanan) sumbangan syarikat CNI Enterprise (M) Sdn Bhd di CNI Jalan Perak di Georgetown. FOTO DANIAL SAAD
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo (dua dari kiri) bersama Pengurus Agensi CNI Jalan Perak, Cheng Lee Yen (kanan) menyerahkan pelitup muka kepada Ahli Lembaga Pengarah Penang Buddhist Free School, Kim Lee Zun (dua dari kanan) sumbangan syarikat CNI Enterprise (M) Sdn Bhd di CNI Jalan Perak di Georgetown. FOTO DANIAL SAAD
Zuhainy Zulkiffli


KERAJAAN Pulau Pinang menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa proaktif dalam membantu peniaga dan penjaja yang terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Saluran bantuan berkenaan seiring saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta PBT mempermudahkan urusan perniagaan di kawasan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata, agihan sumbangan sudah dibuat menerusi pakej bantuan khas fasa satu dan dua yang diperkenalkan sebelum beberapa sektor terbabit dibuka.

Katanya, pakej bantuan fasa pertama memperuntukkan kos sebanyak RM75 juta manakala fasa kedua pula membabitkan RM76 juta kepada masing-masing hampir 20 sektor setiap fasa.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM151 juta bagi membantu golongan yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk peniaga.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM11.4 juta diperuntukkan kepada seramai 22,050 peniaga kecil termasuk penjaja dan peniaga pasar di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan pelitup muka oleh syarikat CNI Enterprise (M) Sdn Bhd di Georgetown, hari ini.

Terdahulu pada 27 Jun lalu, Muhyiddin memberi saranan kepada PBT supaya mengambil langkah proaktif dengan mempercepatkan pemberian lesen perniagaan bagi memudahkan rakyat berniaga.

Langkah itu berikutan kebimbangan terhadap lebih sejuta pekerja di negara ini termasuk golongan belia yang akan hilang pekerjaan berikutan pandemik Covid-19.

Jagdeep berkata, sebanyak 63 peratus daripada peniaga sudah memohon dan menerima manfaat, manakala bakinya sedang diproses.

Katanya, selain bantuan kewangan ketika PKP, peniaga juga diberi kelonggaran dan kebenaran bagi memudahkan perniagaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Antaranya termasuk menyediakan platform jualan dalam talian terhadap jualan makanan dan barangan termasuk durian yang bermusim ketika PKP lalu.

"Sehingga kini, sebanyak 147 lesen perniagaan sudah dikeluarkan iaitu 93 lesen di bawah Majlis Bandaraya Seberang Jaya (MBSP) dan 54 lesen di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)," katanya.

Difahamkan, sebanyak 34 pasar terdiri 21 pasar malam, sembilan pasar pagi serta empat pasar ria sudah dibenarkan beroperasi, selain ada juga masih dalam proses permohonan permit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 3:40 PM