Cubaan Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) warga negara Indonesia menyeludup barangan terkawal dan pembinaan jambatan kayu di lorong tikus  di sempadan Sarawak- Kalimantan di kawasan ladang Empaling, Kampung Stass, Bau, dipatahkn Markas Divisyen Pertama Infantri, pagi semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Cubaan Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) warga negara Indonesia menyeludup barangan terkawal dan pembinaan jambatan kayu di lorong tikus di sempadan Sarawak- Kalimantan di kawasan ladang Empaling, Kampung Stass, Bau, dipatahkn Markas Divisyen Pertama Infantri, pagi semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


MARKAS Divisyen Pertama Infantri mematahkan cubaan penyeludupan barangan terkawal dan pembinaan jambatan kayu di lorong tikus oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di sempadan Sarawak-Kalimantan, Bau, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, pasukan Rejimen Keempat Kor Armor Diraja yang sedang beroperasi mengawal sempadan di kawasan ladang di Empaling, Kampung Stass, Bau terdengar bunyi jentera di kawasan berhampiran.

Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam satu kenyataan hari ini berkata, melalui pemerhatian yang dijalankan, didapati sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda, empat lori dan 10 orang dipercayai PATI sedang memunggah barang runcit seperti telur, sayur dan baja di lorong tikus itu.

"Terdapat juga sebuah jentera jengkaut sedang membuat jambatan kayu di lorong tikus terbabit," katanya.

Menurutnya, serbuan dilakukan mengakibatkan kesemua PATI bertempiaran lari kembali ke sempadan Indonesia.

"Kesemua barangan dan kenderaan itu dirampas. Hasil rampasan empat lori, sebuah pacuan empat roda, sebuah jengkaut, barangan terkawal seperti telur, sayuran, baja dan kayu papan lapis ini dianggarkan bernilai hampir RM400,000.

"Seorang warga tempatan yang juga pemilik tanah terbabit dipercayai turut bersubahat selaku tekong darat dengan membenarkan aktiviti jenayah rentas sempadan dijalankan turut ditahan," katanya.

Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau bagi tujuan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 8:24 PM