Mohamed Farid Noh


TEMPOH reman lima penjawat awam termasuk pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan polis kerana dipercayai terbabit dengan kes kecurian 23 lembu di sebuah ladang kelapa sawit di Kulai disambung tiga hari lagi bermula semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sambungan reman itu dibuat bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

"Polis akan siapkan kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya termasuk pendakwaan, " katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Pada 26 Jun lalu, media melaporkan polis menahan lapan lelaki terdiri daripada seorang pegawai ATM, tiga anggota ATM lain-lain pangkat, seorang pegawai sebuah universiti awam, dua polis bantuan dan seorang orang awam yang dipercayai terbabit mencuri 23 lembu yang dianggarkan bernilai lebih RM55,000.

Polis turut dilaporkan merampas selaras senapang patah, 76 butir peluru, dua kelongsong peluru, sebuah pacuan empat roda milik universiti awam, dua kapak, empat pisau kecil, empat bilah mata pisau serta tiga parang.

Ayob Khan berkata, pihaknya memberi amaran terhadap pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang terbabit bersekongkol melakukan jenayah.

"Bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditahan, kita akan ambil tindakan termasuk menyerahkan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi disiasat selain disiasat mengikut undang-undang negara sebelum tindakan tata tertib diambil, " katanya.

Berita berkaitan

Askar, polis bantuan ditahan curi lembu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 3:40 PM