DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh


KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengakui menerima beberapa ancaman daripada sindiket Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) antarabangsa berikutan ketegasan pihaknya menggempur rangkaian sindiket berkenaan di Johor.

Bagaimanapun, Ayob Khan menyifatkan ancaman yang diterimanya dalam memerangi rangkaian sindiket berkenaan di Johor sebagai lumrah sebagai anggota penguatkuasa.

Katanya, beliau menegaskan tidak akan sesekali tunduk dengan ancaman diterima sebaliknya akan terus memperhebatkan operasi bagi mengekang kegiatan penyeludupan masuk atau keluar Pati.

"Memang ada usaha untuk mengambil tindakan ke atas saya termasuk ancaman diberikan. Ada menerusi WhatsApp, mesej dan Facebook juga.

"Itu adalah lumrah. Apa yang penting kita berhati hati dalam apa juga tindakan, kita berjaga-jaga dan yang selebihnya kita serah pada Allah. Selagi kita ikhlas berkhidmat, kita jangan takut. Kalau takut jangan jadi pegawai polis.

"Jadi guru, jadi wartawan pun ada yang terima ancaman. Itu biasa jadi tuan-tuan jangan bimbang jangan takut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bahru, hari ini.

Untuk rekod, Polis Johor menahan lebih 20 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa di negeri itu termasuk pegawai kanan polis, pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berikutan mereka bersekongkol dengan sindiket antarabangsa menyeludup Pati dan jenayah.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kekerapan operasi bersepadu mengekang sindiket menyeludup Pati di Pantai Timur Johor kini menjadikan hampir 95 peratus kawasan itu kini bersih daripada kegiatan penyeludupan migran.

"Kita akan menumpukan pula usaha untuk melumpuhkan kegiatan sindiket migran di Pantai Barat Johor pada masa ini, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 2:54 PM