LAMBORGHINI yang terbakar di tempat letak kenderaan di kondominium di Jalan Raja Chulan. FOTO Ihsan bomba
LAMBORGHINI yang terbakar di tempat letak kenderaan di kondominium di Jalan Raja Chulan. FOTO Ihsan bomba
Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS tidak menolak kemungkinan kereta Lamborghini yang terbakar di tempat letak kenderaan di kondominium di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang di Kuala Lumpur, hari ini disebabkan khianat.

Menurut sumber, siasatan awal polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal mencurah cecair dipercayai petrol ke kenderaan itu.

"Pasukan forensik polis dan bomba yang menjalankan siasatan juga menemui satu botol air mineral kecil berisi baki cecair disyaki petrol serta sekotak mancis berhampiran lokasi kenderaan itu terbakar.

"Semakan mendapati kereta mewah berwarna kuning itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat swasta berpangkalan di Langkawi milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk," katanya.

Akibat kejadian itu, pemilik kenderaan dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM1 juta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah ketika dihubungi memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat dan siasatan sedang dijalankan.

Berita berkaitan:

  • Kereta mewah hangus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 4:01 PM