Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat di Kampung Gelung Gajah. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat di Kampung Gelung Gajah. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


"PENDUDUK kampung sangka adik saya rentung dalam kebakaran itu kerana puas mereka mencari sebelum adik ditemui selamat," kata Jam Che Man, 52.

Dalam kejadian 12.45 tengah malam hari ini, rumah milik bapanya, Che Man Salleh, 77, yang tinggal bersama adik lelakinya, Mohd Khairizan, 32, di Kampung Gelung Gajah, Pendang musnah dalam kebakaran.

Suri rumah itu berkata, Mohd Khairizan menyedarinya api marak apabila terasa bahang panas ketika sedang tidur menyebabkan dia berlari keluar dari rumah menyelamatkan diri.

Katanya, ketika kejadian bapanya tidak tinggal di situ kerana berada di rumah kakaknya, namun sedih kerana rumah pusaka itu musnah.

"Adik saya dalam keadaan trauma kerana kejadian itu hampir meragut nyawanya dan mujur dia tersedar daripada tidur ketika kejadian berlaku.

"Cuma adik dan ayah tinggal di rumah itu selepas ibu meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran terbabit pada 12.59 pagi.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Zukri Jusoh dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat dan api sedang marak.

"Api berjaya dikawal pada 1.22 pagi dan kemusnahan rumah terbabit dianggarkan 80 peratus. Setakat ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 5:38 PM