Nur Izzati Mohamad


PERBINCANGAN keperluan solat Jumaat dua sesi sudah selesai di peringkat kebangsaan dan keputusannya sudah dibawa kepada Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa negeri untuk tindakan lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ini kerana solat Jumaat tertakluk kepada bidang kuasa negeri masing-masing.

"Keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan untuk mengadakan solat Jumaat dua sesi sudah selesai dibincangkan dan dibawa kepada pihak berkuasa negeri untuk sama-sama memutuskan perkara ini.

"Mungkin minggu hadapan kita akan dapat satu keputusan dan cara untuk selesaikan isu (solat Jumaat) ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Hartanah Wakaf di Pulau Pinang dan Majlis Penyerahan Bantuan Musa'adah COVID-19 di Butterworth, hari ini.

Dr Zulkifli (kanan) bersama Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (kiri) ketika hadir pada majlis Taklimat Pembangunan Hartanah Wakaf Di Pulau Pinang dan Majlis Penyerahan Bantuan Musa’adah COVID 19 di Pangsapuri Wakaf An-Nur, Teluk Air Tawar. FOTO DANIAL SAAD
Dr Zulkifli (kanan) bersama Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (kiri) ketika hadir pada majlis Taklimat Pembangunan Hartanah Wakaf Di Pulau Pinang dan Majlis Penyerahan Bantuan Musa’adah COVID 19 di Pangsapuri Wakaf An-Nur, Teluk Air Tawar. FOTO DANIAL SAAD

Baru-baru ini, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) mengadakan perbincangan berhubung solat Jumaat dua sesi.

Ia adalah langkah bagi membolehkan lebih ramai jemaah datang menunaikan solat Jumaat selepas lebih tiga bulan masjid ditutup daripada dikunjungi orang awam berikutan pandemik Covid-19.

Mengulas dakwaan kebenaran memberikan lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat terlalu lambat, Zulkifli berkata, masyarakat perlu memahami Islam menyarankan umatnya supaya menegakkan syiar agama melalui proses yang dibuat secara tertib.

"Semua orang kata boleh buat, tetapi hasilnya caca merba dan masalah timbul di kemudian hari. Jadi dalam hal ini kita mempunyai pemerintah yang akan meneliti semua perkara sebelum mengambil sebarang keputusan.

"Proses yang dibuat secara tertib ini hasilnya selepas pembukaan masjid, dan rakyat didapati dapat menerima normal baharu bahkan selamat apabila tiada kewujudan kluster masjid dan jemaah sekali gus mengelakkan persepsi tidak baik terhadap umat Islam," katanya.

Katanya, masyarakat disaran tidak hanya datang menunaikan solat Jumaat sebaliknya turut mengimarahkan masjid dan surau pada solat waktu lain mengikut kebenaran diberikan di negeri masing-masing.

"Sekarang surau dan masjid sudah dibuka yang mana kita menyeru supaya umat Islam tidak hanya menunaikan solat Jumaat sahaja, tetapi dapat datang menunaikan solat fardu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 4:32 PM