KERAJAAN Terengganu melonggarkan sementara kepada penjaja jalanan terutama penjual jeruk di kawasan persimpangan lampu isyarat sepanjang tempoh PKPP. FOTO Arkib NSTP
KERAJAAN Terengganu melonggarkan sementara kepada penjaja jalanan terutama penjual jeruk di kawasan persimpangan lampu isyarat sepanjang tempoh PKPP. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

KERAJAAN negeri Terengganu melonggarkan sementara kepada penjaja jalanan terutama penjual jeruk di kawasan persimpangan lampu isyarat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kelonggaran itu diberikan selepas kerajaan mendapati peniaga termasuk penjaja mengalami kemerosotan jualan berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran sementara diberikan bukan bermaksud kerajaan membenarkan aktiviti itu dijalankan dengan membelakangkan undang-undang seperti ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan memahami pendapatan peniaga dan penjaja jalanan terjejas teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu sejak 18 Mac lalu sehingga sekarang berikutan pergerakan masyarakat terbatas.

"Sebagai kerajaan sentiasa mendengar permasalahan rakyat, kita berbincang dengan pihak penguat kuasa untuk tidak mengambil tindakan keatas penjaja jalanan bertujuan memberi peluang mereka menjana semua pendapatan," katanya melalui kenyataan di Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kota Putera berkata, setiap penjaja perlu mengikut peraturan ditetapkan ketika menjalankan operasi perniagaan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Undang-undang sedia ada tetap terpakai, sebab itulah mereka perlu mengikut peraturan ditetapkan...jika tidak mengganggu lalu lintas kita biarkan mereka untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Jika kita dapati ada antara mereka tidak mematuhi peraturan lalu lintas, pegawai dan anggota penguat kuasa akan mengarahkan mereka berpindah ke lokasi lain dan bukannya merampas barangan dijual," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 5:13 PM