X
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my

PENGUSAHA mangga Harum Manis pertama di Kelantan membuktikan tanaman komersial terbabit mampu diusahakan di negeri itu dengan hasil buah terbaik dan berkualiti tinggi.

Nor Mazalan Ab Ghaffar, 52, mengusahakan Harum Manis sejak lapan tahun lalu bermodalkan RM5,000 di atas tanah seluas 0.4 hektar dan kini memiliki 78 pokok mangga terbabit.

Dia yang juga pembantu makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok, Pasir Mas menggunakan masa terluang dengan berbudi kepada tanah selepas 'jatuh cinta' pada rasa Harum Manis selain teruja dengan nilai harga tinggi di pasaran.

Katanya, kali pertama dia merasa hasil tanaman itu pada 2015 selepas lebih tiga tahun mengusahakannya di tanah milik sendiri di Kampung Kedemit, Wakaf Bharu, Tumpat, sebelum membuka satu lagi ladang baru di Kampung Nibong, Pasir Mas pada 2016.

"Sebenarnya, Harum Manis boleh ditanam di mana-mana sahaja, namun ia memerlukan penjagaan lebih rapi serta bekalan air mencukupi bagi memastikan pokoknya dapat menghasilkan buah terbaik.

NOR Mazalan memeriksa buah mangga ketika ditemui di ladang Harum Manis di Kampung Nibong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NOR Mazalan memeriksa buah mangga ketika ditemui di ladang Harum Manis di Kampung Nibong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kita akui, tanah di Perlis paling sesuai untuk tanaman ini namun ia masih boleh diusahakan di tempat lain dengan sedikit usaha.

"Setakat ini, sepohon Harum Manis saya boleh menghasilkan 50 biji mangga. Saya jual dengan harga RM20 sekilogram dengan mempromosikannya melalui kawan atau kumpulan Whatsapp sahaja," katanya.

Nor Mazlan yang juga bapa kepada empat cahaya mata berusia 12 hingga 24 tahun berkata, isterinya, Che Amah Ali Muddin, 52, berasal dari Perlis yang juga kawasan 'lubuk' Harum Manis turut menjadi pendorong utama untuk dia mengusahakan tanaman terbabit.

Katanya, terdapat cabaran untuk mengusahakan mangga itu terutama serangan serangga serta kulat, justeru sebaik ia berbuah sebesar bola pingpong, ia harus dibalut menggunakan plastik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 4:15 PM