SUSPEK ditahan polis kerana memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Seberang Perak. FOTO ihsan polis
SUSPEK ditahan polis kerana memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Seberang Perak. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


WANITA ditahan polis di Jalan Seberang Perak, Alor Setar, kerana memandu dalam keadaan mabuk, malam tadi.

Wanita yang memandu Honda City berusia 29 tahun itu ditahan jam 12 tengah malam oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Operasi diketuai Asisten Superintendan Meor Amir Meor Mohd Khalil bersama tujuh anggota melakukan rondaan Ops Mabuk di dalam bandar raya ini bermula jam 8 malam hingga 3 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, hasil ujian pernafasan mendapati paras alkohol dalam badannya lebih tinggi daripada had ditetapkan.

Beliau berkata, wanita yang menetap di bandar raya ini kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian kedua pernafasan mendapati suspek positif dengan bacaan 102mg/100ml dalam badannya.

"Berikutan itu, wanita itu ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chuah berkata, wanita itu kemudian direman dua hari untuk membantu siasatan.

Beliau menasihatkan orang ramai terutama mereka yang mengambil minuman keras supaya tidak memandu kerana boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain dan boleh menyebabkan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 3:55 PM