NOORZAINY (kiri) menunjukkan sejumlah dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara. FOTO Nur Izzati Mohamad
NOORZAINY (kiri) menunjukkan sejumlah dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

KEGIATAN enam lelaki yang cuba menghasilkan dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dalam bentuk kapsul kecundang apabila ditahan di sebuah rumah di Kepala Batas, Isnin lalu.

Bagaimanapun, dadah berkenaan belum dapat dipasarkan kerana gagal memperoleh kualiti dikehendaki.

Keenam-enam lelaki berusia 19 hingga 29 tahun itu turut menjadikan sebuah rumah kluster dekat Taman Bertam Perdana, Kepala Batas sebagai makmal mini pemprosesan dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua lelaki warga tempatan itu ditahan di sebuah rumah dekat Jalan Ong Yi How pada 8.40 malam.

"Ketika ditahan polis menemui sejumlah dadah jenis syabu seberat 31.4 gram sebelum melakukan siasatan lanjut terhadap keenam-enam lelaki terbabit.

"Hasil siasatan, suspek berkenaan membawa polis ke sebuah rumah kluster dekat Taman Bertam Perdana yang mana kediaman itu dijadikan sebagai mini makmal untuk memproses dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, hari ini.

Norzainy berkata, pemeriksaan di rumah itu menemui peralatan memproses dadah dan pelbagai dadah bernilai RM141,000.

"Antara yang ditemui 40 biji atau 13.23 gram pil ekstasi, 596,8 gram serbuk mengandungi campuran MDMA dan hampir 1.4 kilogram (kg) serbuk mengandungi campuran ketamin," katanya.

Noorzainy berkata, polis turut menyita sebuah kereta Honda City bernilai RM25,900.

"Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek juga mendapati mereka positif dadah, yang mana lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari hingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 4:16 PM