Zatul Iffah Zolkiply


"WALAUPUN jumlah kecil, tetapi ini membabitkan integriti dan sebagai ibu atau bapa, kamu sepatutnya menunjukkan contoh baik terhadap anak.

"Jangan kerana desakan hidup, kamu sanggup bagi anak makan duit haram, jangan ulangi kesalahan sama dan bertaubatlah atas apa kamu lakukan," kata Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Jamaludin Mat kepada 13 kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang berdepan pertuduhan membuat tuntutan palsu.

Jamaludin kemudian menjatuhkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM1,800 kepada 13 tertuduh selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan bayaran sewa hotel dan perjalanan bernilai RM2,254.65 pada 2018.

Selain itu, semua tertuduh berusia antara 28 hingga 49 tahun yang bertugas di Risda Kemaman turut berdepan hukuman penjara antara lima dan enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Jamaludin selepas semua tertuduh yang terdiri daripada Penolong Pegawai Pertanian, Pembantu Tadbir dan Pembantu Operasi mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, mereka yang berjawatan Gred N11 hingga Gred G32 dan W32 didakwa membuat tuntutan palsu berkait bayaran sewa hotel dan perjalanan dalam negeri serta kesalahan pemalsuan bernilai antara RM20 hingga RM380.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Risda Kemaman pada Mac dan April 2018.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 seksyen sama.

SEBAHAGIAN daripada 13 kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuat tuntutan palsu. FOTO Ghazali Kori
SEBAHAGIAN daripada 13 kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuat tuntutan palsu. FOTO Ghazali Kori

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Yasmin Salleh.

Terdahulu, Wan Shaharuddin berkata, SPRM tetap akan mengambil tindakan walaupun jumlah rasuah atau tuntutan hanya bernilai RM10 demi menjaga imej penjawat awam.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemilik resort, Esa Suleiman Angullia, 59, didenda RM6,000 atas pertuduhan bersubahat apabila menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu resit resort berkenaan bertarikh 28 Mac di sebuah resort di Marang.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Nik Hafiza Nik Hassan, 42, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama membabitkan tuntutan bernilai RM85.

Mahkamah menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Berita berkaitan

'11 kakitangan Risda Kemaman mengaku salah buat tuntutan palsu [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 4:15 PM