Balqis Jazimah

KERAJAAN Perak menerusi Program Tanaman Bumi Hijau 2020 memperuntukkan RM790,000 untuk menyediakan Kit Pakej Bumi Hijau sebagai usaha memperkasa aktiviti pertanian dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, program pertama seumpamanya dalam negara itu dijangka memberi manfaat kepada 11,081 isi rumah.

Katanya, inisiatif diambil Jabatan Pertaniah Perak itu bertujuan menggalakkan masyarakat menanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan di halaman rumah.

"Kita berharap usaha ini dapat menyemai kecintaan masyarakat terhadap bidang pertanian, bermula dengan mengusahakan taman sayur di halaman masing-masing.

"Usaha ini bukan sahaja membantu menghijaukan bumi, malah ia juga memberi pulangan untuk mengurangkan perbelanjaan dapur seterusnya menurunkan kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Bumi Hijau Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Ahmad Faizal berkata, permohonan sudah dibuka dan orang ramai boleh memohon kit itu melalui laman sesawang Jabatan Pertanian Perak secara percuma.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan program Program Bumi Hijau Negeri Perak di Pejabat Menteri Besar Perak di Ipoh, hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan program Program Bumi Hijau Negeri Perak di Pejabat Menteri Besar Perak di Ipoh, hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

"Kit yang bernilai RM71 itu mengandungi biji benih buah-buahan dan sayur-sayuran," katanya.

Beliau berkata, bagi menyahut titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai jaminan bekalan negara, kerajaan negeri melalui PPPNP juga sedang menggerakkan agenda mewujudkan hampir 1,000 usahawan tani menerusi Skim Usahawan Agrotani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 1:47 PM