Fiah Md Jamin (dua dari kiri) berbincang dengan pengetua sekolah menengah KGV Seremban mengenai sesi persekolahan, esok. NSTP/Mohd Amin Jalil.
Fiah Md Jamin (dua dari kiri) berbincang dengan pengetua sekolah menengah KGV Seremban mengenai sesi persekolahan, esok. NSTP/Mohd Amin Jalil.
Oleh Mohd Amin Jalil


SERAMAI 20,954 pelajar tingkatan lima dan enam, termasuk sekolah berasrama penuh (SBP), dari seluruh Negeri Sembilan akan kembali memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran di 124 sekolah, esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Md Fiah Md Jamin berkata, mereka akan terbabit dengan normal baharu persekolahan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pelaksanaan SOP bermula di pintu masuk sekolah sehingga kakitangan sekolah dan pelajar pulang ke rumah atau di asrama. Hanya pelajar yang disahkan sihat sahaja dibenarkan masuk ke sekolah.

"Pengetua sekolah sudah diberikan taklimat dan garis panduan pembukaan sekolah malah simulasi pengoperasian sekolah sudah dibuat baru-baru ini," katanya hari ini.

Md Fiah berkata, sekolah akan menyediakan alat pengimbas suhu badan, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman yang ditempatkan di beberapa lokasi utama.

Beliau berkata, kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) juga akan berada di sekolah untuk memantau SOP ditetapkan terutama membabitkan penjarakan sosial.

"Kami mengharapkan kerjasama semua pihak terutama ibu bapa dalam menjayakan sesi persekolahan esok.

"Ibu bapa juga diharap tidak bimbang dengan tahap keselamatan anak mereka dan kita sama-sama berdoa agar semuanya berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 6:52 PM