PEGAWAI TNB menyerahkan bantuan kepada penerima.
PEGAWAI TNB menyerahkan bantuan kepada penerima.
Suliati Asri


TENAGA Nasional Berhad (TNB) memperluaskan perkongsian rezeki dengan mengagihkan wang wakalah zakatnya berjumlah RM4.36 juta kepada lebih 21,000 penerima negeri di Semenanjung dan Sabah.

Pengagihan sumbangan dijalankan sepanjang Ramadan lalu itu bertujuan menyantuni golongan memerlukan serta terkesan akibat pandemik Covid-19 dan disampaikan oleh warga kerja TNB di 13 negeri termasuk 15 stesennya di Semenanjung.

Penduduk kampung dan perumahan menerima bantuan itu termasuk penduduk pedalaman Padang Besar (Perlis), Bukit Selambau (Kedah), Balik Pulau (Pulau Pinang), Kayan (Perak), Banting (Selangor), Lukut (Negeri Sembilan), Masjid Tanah (Melaka), Plentong (Johor), Bentong (Pahang), Batu Rakit (Terengganu), Jeli (Kelantan) dan Keningau (Sabah).

Penerima sumbangan itu juga terdiri asnaf khususnya fakir miskin, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, pesakit kronik, Orang Asli dan anak yatim tanpa mengira bangsa dan agama.

Turut mendapat manfaat adalah penduduk miskin bandar di Wilayah Persekutuan dan Selangor seperti di Ampang, Putrajaya, Lembah Pantai, Batu dan Puchong.

Wang wakalah, penerimaan semula daripada pembayaran zakat syarikat itu diagihkan ke setiap negeri dengan peruntukan antara RM50,000 dan RM1.3 juta bergantung kepada pulangan wakalah yang diterima di setiap negeri.

Pendekatan ini membolehkan perkongsian lebih merata hingga ke seluruh Semenanjung dalam usaha menceriakan dan meringankan kesempitan hidup penerima bagi membuat persiapan menyambut kedatangan 1 Syawal.

Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata pengagihan bantuan itu menyeluruh di perkampungan dan perumahan setiap negeri, rumah anak yatim dan kebajikan, kawasan pedalaman dan desa.

Katanya, bantuan itu disampaikan sendiri oleh warga kerja TNB termasuk barisan ahli persatuan dalaman atas rasa keprihatinan mereka.

"Maklum balas diterima daripada penerima sangat memberi kesan mendalam lebih-lebih lagi mereka yang dihimpit kesukaran akibat pandemik Covid-19, khususnya yang tinggal di kawasan bandar apabila punca pendapatan mereka terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 6:18 PM