FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

PEGAWAI Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini selepas mengaku salah atas dua tuduhan menerima RM850 bagi meminda rekod lesen kenderaan motor (LKM) dalam sistem portal MySIKAP, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib turut memerintahkan tertuduh, Ahmad Kamal Mohd Rosli, 39, membayar denda RM1,000 atau jika gagal, hukuman penjara ditambah dua bulan lagi.

Ahmad Kamal yang bertugas sebagai pembantu tadbir di JPJ cawangan Temerloh didakwa menerima wang tunai yang didepositkan ke dalam akaun bank miliknya oleh seorang orang tengah sebanyak dua kali dalam nilai RM400 dan RM450 sekitar Jun 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, suapan itu didakwa upah untuk mengubah tarikh LKM kenderaan jenis Naza Ria dan Toyota Harrier yang tamat tempoh melebihi setahun supaya kenderaan itu tidak perlu melalui pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi urusan pembaharuan cukai jalan.

Tertuduh didakwa menggunakan kata laluan miliknya pada 16 Jun 2017 untuk mengakses sistem bagi mengubah tarikh LKM sebelum memaklumkan orang tengah berkenaan bahawa urusan pembaharuan cukai jalan dua kenderaan terbabit sudah boleh dilakukan di semua kaunter JPJ.

Pada prosiding itu, tertuduh berkali-kali merayu kepada mahkamah supaya tidak dikenakan hukuman penjara atas alasan tiga anak lelakinya yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun masih bersekolah manakala isterinya tidak bekerja.

"Saya akan kehilangan kerja selepas ini dan saya bimbang bagaimana hendak menyara keluarga. Anak masih kecil dan saya ada komitmen hutang bulanan yang selama ini, pendapatan rumah bergantung sepenuhnya kepada saya.

"Sejak 2018 saya sudah tidak buat lagi kesalahan itu. Saya sudah sedar dan berubah. Saya merayu sangat-sangat supaya dikenakan hukuman paling ringan dan tidak dihantar ke penjara," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 2:38 PM