Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim


KESEDIAAN Malaysia untuk membuka pintu sempadan kepada warga Singapura dan Brunei untuk masuk ke negara ini masih di peringkat awal perbincangan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perbincangan sedang dilakukan antara kerajaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelbagai agensi berkaitan termasuk Kementerian Luar.

Menurutnya, setakat ini belum ada persetujuan antara dua negara berkenaan kerana perlu melihat risiko dan prosedur operasi standard (SOP) serta dasar kesihatan negara berkenaan.

"Kita kena lihat dari segi pelaksanaan dan juga SOP yang perlu dipersetujui oleh dua pihak.

"Pada peringkat ini, kita hanya melaksanakan perbincangan dulu tetapi harap kita dapat mencapai persetujuan dari Singapura dan Brunei," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini ketika ditanya mengenai rakyat dari negara berstatus zon hijau yang diberi kelonggaran memasuki Malaysia.

d Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan anggota komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
d Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan anggota komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut mengenal pasti enam negara lain yang berstatus zon hijau.

"Kita perlu melihat trend penularan di negara itu termasuk polisi serta dasar di antara kedua-dua negara berkenaan. Sekiranya dasar itu sehaluan, kita mungkin mendapat kata sepakat," katanya.

Katanya, KKM masih belum memastikan sama ada pembukaan sempadan negara itu akan berlaku dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau selepas tempoh berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan bersedia untuk membuka pintu sempadan kepada warga Singapura dan Brunei masuk ke negara ini, sekiranya negara itu juga memberi kelonggaran yang sama.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pada dasarnya kerajaan bersetuju untuk membuka pintu sempadan kepada rakyat kedua negara itu tanpa mereka perlu memohon kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 7:08 PM