SUSPEK yang ditahan polis. FOTO ihsan PDRM
SUSPEK yang ditahan polis. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN lelaki berpura-pura mencari pekerjaan kosong sebelum menyamun pekerja sebuah hotel di Petaling Jaya dan melarikan wang tunai RM300 mengundang padah apabila dia ditahan, semalam.

Dalam kejadian 8 pagi itu, suspek berusia 24 tahun mengacu pisau kepada salah seorang pekerja dan melarikan wang tunai mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya berjaya mengesan suspek dan menahannya di sebuah rumah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 10.30 malam hari sama sebaik menerima maklumat.

Menurutnya, semakan mendapati suspek pernah terbabit dengan lima kes jenayah samun di sekitar daerah Petaling Jaya dan satu kes dadah.

"Pemeriksaan di dalam rumahnya menemui beberapa barangan dipercayai digunakan suspek dalam kejadian samun.

"Pihak polis turut merampas barangan seperti beg komputer riba, pisau, wang tunai, telefon bimbit, kad sim, jam tangan, barangan kemas dan kasut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 6:45 PM