Hazira Ahmad Zaidi


YAYASAN Pembangunan orang kurang upaya (OKU) Malaysia wajar ditubuhkan bagi membantu memperkasa golongan istimewa itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, yayasan itu mampu menjadi platform terkini yang membantu OKU menjalankan aktiviti boleh menambah baik kehidupan mereka.

Menurutnya, ia juga boleh bertindak sebagai badan yang mengumpul dana korporat dan pihak lain dalam membantu OKU.

"Dengan adanya yayasan ini, OKU tidaklah hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya masyarakat juga dapat membantu memperkasakan mereka," katanya ditemui ketika mengadakan lawatan kerja di Pusat Latihan Armalah Wanita OKU dan Armalah di Bazar Siti Aisyah, Jalan Buluh Kubu, Kota Bharu hari ini.

Siti Zailah berkata, inisiatif itu masih dalam perbincangan dan dalam masa sama beliau melihat terdapat keperluan menubuhkan Majlis Pembangunan OKU di setiap negeri.

"Sebagai contoh, di Kelantan terdapat banyak program untuk memperkasa golongan OKU yang dilaksanakan penyelaras negeri dan di Parlimen.

"Model pembangunan OKU yang dilaksanakan di negeri ini boleh dijadikan contoh dan diperluaskan ke seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan sebanyak RM102 juta yang diluluskan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) memanfaat dua golongan sasar iaitu ibu tunggal (armalah) dan OKU di seluruh negara.

Katanya, RM45 juta diperuntukkan untuk ibu tunggal, manakala RM57 juta sebagai bantuan tambahan 'one-off' OKU.

Menurutnya, bantuan julung kali itu boleh dipohon menerusi Jabatan Pembangunan Wanita bagi ibu tunggal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

ZAILANI pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Akademi JPJ Bersama Pihak Media di Akademi JPJ Malaysia Melaka di Tiang Dua. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
ZAILANI pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Akademi JPJ Bersama Pihak Media di Akademi JPJ Malaysia Melaka di Tiang Dua. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 3:53 PM