Nur Izzati Mohamad


HASRAT nelayan membuat pinjaman RM100,000 memakan diri apabila mengalami kerugian RM31,111 akibat ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Mangsa berusia 49 tahun sebelum itu terlihat iklan pinjaman wang dengan sebuah syarikat berlesen di sebuah enjin carian, semalam lalu mahu membuat pinjaman.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa menghubungi ejen syarikat berkenaan sebelum diminta membuat bayaran supaya pinjamannya dapat diproses dengan segera.

"Mangsa kemudian memasukkan sejumlah wang untuk bayaran proses pinjaman itu ke dalam tujuh akaun yang diberikan.

"Bagaimanapun, ejen berkenaan meminta mangsa membuat bayaran tambahan sebelum dia menyedari terperangkap dengan sindiket penipuan apabila menyemak dengan pihak polis," katanya, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa terus membuat laporan polis pada hari kejadian untuk tindakan lanjut.

Sementara itu,Noorzainy berkata, pelajar berusia 18 tahun turut menjadi mangsa penipuan apabila mengalami kerugian RM1,380.

"Kejadian bermula apabila pelajar terbabit mahu menjual duit lama miliknya dengan seorang pembeli di laman sosial Instagram.

"Mangsa diminta untuk membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum mendapat keuntungan dalam mata wang USD (Dolar Amerika Syarikat) lalu menuruti kata-kata suspek," katanya.

Menurutnya, mangsa juga menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 7:38 PM