Anggota polis menahan seorang penunggang motosikal selepas hasil ujian pernafasan  mendapati dia positif mengambil alkohol daripada jumlah dibenarkan. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Anggota polis menahan seorang penunggang motosikal selepas hasil ujian pernafasan mendapati dia positif mengambil alkohol daripada jumlah dibenarkan. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Oleh Amir Mamat


SEORANG penunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir, Melaka malam tadi.

Lelaki berusia 37 tahun yang dalam perjalanan dari Ujong Pasir ke Kota Laksamana itu ditahan selepas dilihat menunggang dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ujian saringan alkohol ke atas lelaki itu mendapati paras alkohol dalam badannya mencecah 245 miligram.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai penjaga parkir itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Polis mempergiatkan lagi Op Mabuk di negeri ini bagi memastikan tiada lagi pemabuk memandu atau menunggang kenderaan di jalan raya yang jelas membahayakan diri serta pengguna lain.

"Sejak awal tahun ini, sebanyak 19 tangkapan ke atas pemandu mabuk manakala tahun lalu pula 28 pemandu ditangkap atas kesalahan sama," katanya.

Operasi yang bermula kira-kira jam 11 malam dan berakhir jam 2.30 pagi itu adalah operasi ketiga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Hasan Basri berkata, jumlah kes trafik membabitkan pemandu mabuk dalam daerah Melaka Tengah adalah tertinggi di negeri ini.

Sementara itu, sebanyak 250 kenderaan diperiksa dalam Op Mabuk malam tadi dengan 166 saman dikeluarkan.

Antara kesalahan trafik itu termasuklah tiada lesen memandu, tidak cukai jalan dan ubah suai nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 2:37 PM