Foto hiasan
Foto hiasan
Suraya Roslan


ORANG ramai dibenarkan memasuki bangunan terminal lapangan terbang untuk menyambut penumpang penerbangan bermula semalam.

Pengendali lapangan terbang utama negara, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dimaklumkan pengecualian oleh Kementerian Pengangkutan itu dibuat melalui Pelaksanaan Perintah Kawalan Pemulihan (PKPP).

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini, hanya penumpang dengan dokumen perjalanan yang sah dibenarkan memasuki bangunan terminal.

MAHB dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini memaklumkan, pengecualian terbaru ini sejajar dengan kelonggaran sekatan secara bertahap dalam perjalanan udara di Malaysia.

"Antara kelonggaran lain termasuk pengecualian untuk melaksanakan langkah penjarakan sosial secara ketat di pintu masuk untuk memudahkan proses menaiki kapal terbang tepat pada masanya.

"Pengecualian ini diberikan selepas pemeriksaan menyeluruh terhadap semua langkah keselamatan yang berkaitan dengan Covid-19 dilaksanakan di lapangan terbang," katanya.

Menurutnya, langkah keselamatan itu bukan hanya dalam mencegah penularan penyakit tetapi juga dalam menjaga kesejahteraan semua tetamu dan kakitangan di lapangan terbang.

"Sebahagian besar perniagaan di lapangan terbang juga sudah kembali beroperasi untuk memberikan perjalanan yang selesa kepada semua tetamu di lapangan terbang.

"Selain penggunaan pelitup muka yang diwajibkan, pemeriksaan suhu badan menggunakan pengimbas termal canggih, penanda jarak sosial untuk membantu memandu arah tetamu di lapangan terbang dan penyediaan cecair pembasmi kuman tangan yang mudah ditemui di sepanjang perjalanan di lapangan terbang, kami mulai memanfaatkan teknologi dan peralatan canggih untuk memberikan pengalaman yang selamat dan tidak bersentuhan.

"Ini termasuk teknologi pengecaman wajah, pemeriksaan keselamatan tanpa kontak dan pemasangan pelindung bersin anti mikroba di kaunter servis," katanya.

Katanya lagi, peruncit di lapangan terbang dan pengendali makanan serta minuman juga perlu menggunakan kaedah pembayaran tanpa sentuh melalui pelbagai perkhidmatan e-pembayaran.

Menurutnya, terminal lapangan terbang juga selalu dibersihkan dan dibasmi kuman menggunakan bahan kimia berasaskan air yang membunuh 99 peratus mikroorganisma.

"Langkah ini ditambah dengan kehadiran petugas pematuhan keselamatan yang melakukan rondaan di terminal dan keselamatan di skrin digital untuk mengingatkan tetamu lapangan terbang untuk terus mengamalkan langkah yang selamat.

"Duta CARE lapangan terbang yang mesra juga disediakan untuk membantu penumpang yang memerlukan bantuan," katanya.

MAHB turut mengingatkan penumpang penerbangan untuk berada di lapangan terbang tiga jam lebih awal sebelum berlepas bagi mengelakkan sebarang kesulitan memandangkan banyak normal baharu dikenakan dalam perjalanan udara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 12:32 PM