Foto hiasan
Foto hiasan
Abdul Razak Raaff

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) selaras dengan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen termasuk pematuhan terhadap garis panduan pencegahan Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, SPR juga menyediakan surat aku janji untuk ditandatangani oleh calon yang mengandungi 10 janji bagi mematuhi segala peraturan yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan mana-mana undang-undang serta peraturan yang berkaitan sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, setiap ceramah perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan bagi aktiviti ceramah yang dijalankan tanpa permit.

"Kita berpuas hati dengan perjalanan proses penamaan calon pagi ini dan semua pihak patuh prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial.

"Kita menjangkakan peratusan keluar mengundi untuk PRK DUN Chini kira-kira 70 peratus. Keputusan PRK dijangka akan diumumkan sebelum 10 malam 4 Julai.

"SPR juga memohon semua pihak khususnya media supaya turut memainkan peranan menggalakkan pengundi keluar mengundi pada hari pengundian," katanya di Pekan hari ini.

Azhar juga berkata, SPR akan terus melaksanakan penambahbaikan pada PRK ini dan memaklumkan kepada pengundi untuk keluar mengundi pada waktu yang digalakkan sepertimana tercatat pada kad pengundi (voter's card) bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan penjarakan sosial dapat dilaksanakan.

Di samping itu, katanya, garis panduan pencegahan wabak Covid-19 juga akan turut dikuatkuasakan di pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau juga berharap kepada parti yang bertanding supaya aktiviti berkempen akan berjalan dengan penuh harmoni serta tidak melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah membuka bilik gerakannya di Kompleks SPRM Pahang, Bandar Indera Mahkota, Kuantan dan akan beroperasi selama 24 jam.

"Pegawai-pegawai SPRM juga akan membuat pemantauan di lapangan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 12:02 PM