Siri setem definitif ‘Hidupan Marin Ikonik’. FOTO Pos Malaysia
Siri setem definitif ‘Hidupan Marin Ikonik’. FOTO Pos Malaysia
BERNAMA

PEMINAT dan pengumpul setem kini boleh mendapatkan siri setem definitif kebangsaan terbaharu Pos Malaysia yang mengabadikan keindahan dan kepelbagaian hidupan marin di negara ini.

Ketua Pemasaran Kumpulan Pos Malaysia, Schrene Goh berkata, pantai dan perairan Malaysia kaya dengan spesies marin serta sumber semula jadi.

Katanya, berikutan itu, ia menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk melindungi dan memulihara khazanah bagi diwarisi generasi akan datang.

"Siri setem definitif 'Hidupan Marin Ikonik' yang baharu ini menampilkan keindahan khazanah lautan kita dan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara khazanah dan warisan negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siri Definitif Kebangsaan: Hidupan Marin Ikonik yang menawarkan lima reka bentuk setem - Penyu Karah (RM1.30), Lumba-Lumba Putih (RM1.40), Yu Paus (RM1.50), Kima Besar (RM1.70) dan Dugong (RM1.90) - boleh didapati melalui stor dalam talian Pos Malaysia di www.eziemall.com dan pejabat pos di seluruh negara, mulai hari ini.

Bagi Lembaran Mini yang dikeluarkan, ia hadir dalam reka bentuk potongan unik Penyu Karah dengan teknik cetakan spot UV dengan nilai muka RM5.

Peminat setem dan pencinta hidupan marin juga boleh mendapatkan koleksi lengkap berharga RM102.80 setiap satu yang terdiri daripada lima helaian setem dengan 10 setem pada setiap helaian, lembaran mini, sampul surat hari pertama dengan lima setem dan sampul surat hari pertama dengan lembaran mini, brosur maklumat dan folder.

Koleksi lengkap itu dikeluarkan dengan kuantiti terhad hanya 1,500 set.

Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedang dikuat kuasakan, Pos Malaysia juga melanjutkan tempoh pembelian iaitu selama tiga hari dari 18 Jun hingga 20 Jun, untuk pelanggan mendapatkan sampul surat hari pertama dan cop pembatalan.

Sempena pelancaran siri setem definitif kebangsaan itu, Goh berkata, Pos Malaysia menyertai usaha konservasi penyu melalui pemeliharaan 10 sarang penyu bagi memastikan lokasi inkubasi yang selamat buat kira-kira 1,000 telur penyu.

Kawasan penetasan dikendalikan oleh dua organisasi konservasi penyu iaitu Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara, Terengganu dan Juara Turtle Project di Pulau Tioman, Pahang.

"Kami menjemput orang ramai untuk menyertai kami dalam usaha konservasi ini. Derma boleh disalurkan kepada Lang Tengah Turtle Watch di www.langtengahturtlewatch.org dan Juara Turtle Project di www.juaraturtleproject.com," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 9:02 PM