Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


UBAT dexamethasone tidak membantu dalam rawatan pesakit Covid-19 yang hanya mempunyai gejala ringan dan tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia hasil ujian klinikal dilakukan yang menunjukkan ubat terbabit adalah streoid mengurangkan risiko kematian.

"Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak menyalahgunakan atau mengambil ubat itu tanpa preskripsi doktor.

"Ini kerana ubat itu juga mempunyai kesan sampingan dan perlu diimbangi dengan keperluan penggunaan ubat bagi penyakit tertentu," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan dexamethasone dipercayai membantu menyelamatkan satu pertiga daripada kes Covid-19 paling serius, berdasarkan keputusan percubaan dianggap sebagai penemuan terbesar dalam usaha memerangi wabak berkenaan.

Penyelidik diketuai pasukan dari Universiti Oxford itu menilai ubat berkenaan diberikan kepada lebih 2,000 pesakit Covid-19 yang tenat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum perkembangan awal ujian klinikal ubat dexamethasone dalam rawatan Covid-19 dari Universiti Oxford, United Kingdom berkenaan.

"Ia sejenis ubat steroid digunakan untuk mengurangkan radang dalam pelbagai penyakit.

"Hasil dapatan awal menunjukkan ubat itu dapat mengurangkan risiko kematian sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala pernafasan serius terutama memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Katanya, KKM mengucapkan syabas kepada universiti, kerajaan United Kingdom dan semua anggota terbabit dalam uji kaji berkenaan.

Hasil penemuan saintifik ini penting dalam perkembangan rawatan pesakit Covid-19.

Berita berkaitan

Dexamethasone berhasil ubati pesakit Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:42 PM