GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

RUMAH Perlindungan Orang Tua, Pertubuhan Sukarelawan Agensi Bantuan Selangor (SRA) hari ini menafikan penularan wabak di rumah penjagaan itu dan percaya punca jangkitan seperti yang diumumkan Isnin lalu berpunca daripada seorang penghuninya, yang juga pesakit asimptomatik (tanpa simptom atau gejala) Covid-19.

Pengerusinya, Sharil Hussein berkata, beliau percaya jangkitan berlaku apabila terdapat kontak rapat antara seorang penghuni lelaki berusia 51 tahun, yang pulih Covid-19 dan dibenar keluar Hospital Sungai Buloh pada 3 Jun dan seorang lagi penghuni yang berada di hospital sama bagi masalah hipertensi.

"Kedua-duanya menaiki ambulans yang sama ketika dihantar pulang ke rumah penjagaan. Jadi berlaku kontak rapat," katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seorang lelaki berusia 69 tahun diuji positif virus itu selepas dimasukkan ke Hospital Tanjung Karang bagi masalah pernafasan.

Beliau berkata, kes baharu itu adalah sebahagian daripada kluster yang dikesan di rumah perlindungan orang tua, yang sebelum ini mengesan dua kes, membabitkan seorang penghuni dan penjaga kepada pesakit itu, pada Mei.

Dr Noor Hisham berkata, sumber jangkitan masih lagi disiasat dan pengesanan kes aktif serta kerja-kerja sanitasi dan pembersihan sedang dijalankan di rumah penjagaan itu.

Kesemua 18 kakitangan dan 24 penghuni di rumah penjagaan itu turut menjalani saringan kali ketiga.

Menurut Sharil pesakit pertama adalah asimptomatik apabila diuji positif pada 16 Mei dan kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk dikuarantin dan dirawat.

Pesakit itu pulih sepenuhnya dan dibenar keluar hospital pada 3 Jun dan meneruskan kuarantin di rumah perlindungan itu manakala pesakit kedua ditempatkan di bilik bersebelahan untuk pemerhatian dan kedua-duanya dipisahkan daripada penghuni lain, katanya.

Keesokannya, pesakit pertama mula batuk dan dihantar semula ke Hospital Sungai Buloh.

Kira-kira seminggu kemudian, pesakit kedua yang mempunyai hipertensi dan diabetes, menghidap demam dan mengalami masalah pernafasan dihantar ke Hospital Tanjung Karang dan diuji positif Covid-19 pada 15 Jun.

Sharil berkata, beliau yakin tiada penularan pandemik di rumah perlindungan itu kerana pihak pengurusan telah melaksanakan langkah ketat untuk membendung Covid-19 selepas dua kes dikesan pada Mei, termasuk kuarantin wajib dua minggu, melakukan sanitasi, ujian saringan kedua bagi kakitangan dan penghuni.

Rumah perlindungan itu turut mengehadkan kedatangan pelawat serta petugas wajib memakai pelitup muka, sarung tangan dan peralatan perlindungan diri ketika menguruskan penghuni.

Sharil berkata, langkah itu telah menimbulkan banyak komplikasi bagi rumah penjagaan itu termasuk kekurangan bekalan (peralatan).

Sejak kes ketiga dikesan, rumah penjagaan itu perlu mendapatkan lebih banyak peralatan perubatan, seperti kaf tekanan darah dan termometer serta peralatan perlindungan diri seperti sarung tangan dan pelitup muka – barangan yang tidak mampu dibiayai oleh rumah perlindungan tersebut.

"Kami mengendalikan rumah kebajikan. Kami bergantung kepada sumbangan Ahli Parlimen dan orang ramai," katanya sambil menambah mereka memerlukan kira-kira 20 kotak sarung tangan dan 252 peralatan perlindungan diri (PPE) bagi tempoh yang singkat," katanya.

Oleh kerana ia adalah virus baharu, banyak persoalan yang masih berlegar mengenai infektiviti, kesan dan tempohnya. Terdapat laporan beberapa kes yang pesakit menunjukkan gejala selepas dua minggu tempoh kuarantin dan kajian di Hong Kong mendapati satu pertiga daripada pesakit kekal positif 20 hari selepas bermulanya gejala.

Sehingga kini, saringan rutin mendapati 30 kes dalam kalangan penghuni dan petugas di 421 rumah perlindungan orang tua daripada anggaran 1,700 di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 1:02 PM