SYEIKH Fadzil ketika mengadakan sidang media di Wisma Darul Aman mengenai SOP solat Jumaat dan solat berjemaah di Kedah. FOTO Amran Hamid
SYEIKH Fadzil ketika mengadakan sidang media di Wisma Darul Aman mengenai SOP solat Jumaat dan solat berjemaah di Kedah. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


KEDAH membenarkan solat Jumaat dihadiri 60 jemaah manakala solat fardu di masjid dihadiri 40 jemaah mulai Jumaat ini.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, perkara itu diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertujuan mengimarahkan masjid ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Bagi solat Jumaat, jemaah mestilah sekurang-kurangnya 40 orang bagi memenuhi syarat wajib Jumaat.

"Laungan azan yang diguna ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini akan dikembalikan kepada lafaz azan asal.

"Bagi pengajian al-Quran dan kuliah pula dibenar dilakukan selepas solat Subuh dan Maghrib, namun tempohnya tidak melebihi 30 minit," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Syeikh Fadzil berkata, masjid dan surau juga dikehendaki menyediakan ruang solat untuk orang yang bermusafir mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan JHEAIK.

"Kita juga memutuskan membenarkan solat sunat Aidiladha dan ibadat korban, namun jumlah kehadiran peserta pada sesuatu masa tertakluk kepada kesesuaian kawasan dan perlu mengelak elemen sesak, sempit dan sembang dekat (3S).

"Agihan daging korban kepada peserta dan fakir miskin boleh dilaksana mengikut amalan penjarakan sosial, namun sebarang majlis jamuan dan kenduri tidak dibenarkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, pihaknya menetapkan hanya jemaah berusia 15 tahun ke atas dibenarkan menunaikan solat jemaah di masjid dan surau.

Katanya, bagi solat Jumaat, hanya Masjid Zahir dibenarkan jemaah maksimum seramai 80 orang, manakala masjid lain 60 orang.

"Bagi solat fardu, hanya 40 jemaah dibenarkan dalam satu-satu masa di masjid, manakala di surau 20 orang saja.

"Jemaah perlu mendaftar dengan jawatankuasa masjid dan surau sebelum waktu solat bagi mengelak kesesakan dan mereka mesti bergilir ke masjid bagi mengelak perasaan tidak puas hati.

"JHEAIK dan polis akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan jemaah mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 6:11 PM