TAMAN Eko-Rimba Batu Maloi belum dibuka kepada orang ramai. FOTO Mohd Amin Jalil
TAMAN Eko-Rimba Batu Maloi belum dibuka kepada orang ramai. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

KESEMUA 12 hutan lipur di Negeri Sembilan yang diselia Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) mula dibuka kepada orang ramai kecuali Taman Eko-Rimba Batu Maloi di Johol.

Pengarah JPNS, Saleh Awaludin berkata, Taman Eko-Rimba Batu Maloi belum dibuka kepada orang ramai kerana ia membabitkan beberapa aktiviti berpasukan dan boleh mengakibatkan bersentuhan badan seperti menyelam.

Katanya, pihaknya sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) mengenai penggunaan kemudahan di semua hutan lipur itu sebagai langkah keselamatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebenarnya kita (JPNS) belum bercadang untuk membuka semua hutan lipur terbabit, tetapi kita terpaksa membuka semula disebabkan Negeri Sembilan menjadi tumpuan pengunjung terutama membabitkan aktiviti lasak.

"Pembukaan hutan lipur ini juga akan dapat membantu peniaga dan penjaja kecil meneruskan aktiviti masing-masing selepas pendapatan mereka terjejas lebih tiga bulan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.

"Bagaimanapun, kami sudah menyediakan SOP yang ketat di mana ia berbeza dengan negeri lain kerana setiap kemasukan pengunjung di pintu masuk hutan lipur berkenaan akan dipantau," katanya.

Saleh berkata, pihaknya sudah bersedia untuk melaksanakan tugas sepanjang PKPP termasuk menempatkan kakitangan yang mencukupi di setiap hutan lipur untuk memastikan SOP dipatuhi pengunjung.

Menurutnya, hanya beberapa aktiviti sahaja dibenarkan seperti mendaki, berbasikal dan mandi di jeram manakala berkhemah hanya pada siang hari dan mandi di kolam tidak dibenarkan.

Katanya, pihaknya sedar orang ramai akan mula mengunjungi hutan lipur berkenaan dan peningkatan jumlah pengunjung akan berlaku pada hujung minggu.

"Bagi menjaga kepentingan orang ramai, kakitangan jabatan ini akan melakukan pemantauan menyeluruh dan lebih banyak bergerak ke lokasi tumpuan untuk memastikan keselamatan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 3:55 PM