Komuniti Islam Jepun memerlukan dana bagi membayar baki pembelian bangunan masjid di Kyoto, Jepun.
Komuniti Islam Jepun memerlukan dana bagi membayar baki pembelian bangunan masjid di Kyoto, Jepun.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


MASA kian suntuk. Hanya ada berbaki 12 hari lagi bagi penduduk Islam di Kyoto, Jepun, mengumpul

wang sebanyak RM2.73 juta untuk melunaskan baki bayaran pembelian bangunan masjid pertama di wilayah itu.

Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan berkata, kos keseluruhan pembelian Masjid Kyoto, Jepun, itu membabitkan anggaran keseluruhan 76.7 juta Yen ( RM3.05 juta ).

Menurutnya, Muslim Care Malaysia Society mengambil tanggungjawab untuk membantu serta mengusahakan dana pembinaan masjid pertama di Kyoto itu bermula dengan dana deposit sebanyak 5.5 juta Yen (RM214,200).

"Pengumpulan dana ini turut dibantu oleh komuniti Islam di Jepun.

"Mereka memerlukan baki RM2.73 juta lagi untuk melunaskan bayaran penuh pembelian masjid itu.

"Wang deposit akan hilang sekiranya baki sebanyak 68.5 juta Yen (RM 2.73 juta) gagal diselesaikan. Keseluruhan baki itu perlu dibayar sebelum 25 Jun ini," katanya.

Beliau berkata, kegagalan itu boleh mengakibatkan kontrak pembelian bangunan masjid itu terbatal sekaligus menyebabkan kehilangan wang deposit RM214,200 dibayar sebelum ini.

Menurutnya, sumbangan itu mampu menjayakan usaha menegakkan syiar Islam di negara matahari terbit itu.

"Sumbangan ramai itu pastinya akan mencipta sejarah apabila pembinaan sebuah masjid di Kyoto, Jepun, bakal menjadi realiti.

"Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, "Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya"," katanya.

Beliau berkata, umat Islam wajar merebut peluang dengan mengekalkan amal sebagai saham akhirat yang manfaatnya sehingga kiamat.

"Sumbangan saham akhirat anda boleh disalurkan melalui akaun Muslim Care Malaysia Society melalui akaun

Maybank 564490211159 dan Bank Islam 14032010093666.

"Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh diajukan kepada Exco Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ujar ditalian +60134886447 atau Safuan ditalian +60134886447 selain melayari http://muslimcaremalaysia.my/project/pembinaan-masjid-pertama-kyoto-jepun/

Komuniti Islam Jepun memerlukan dana bagi membayar baki pembelian bangunan masjid di Kyoto, Jepun

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 9:02 PM