Ruwaida Md Zain


AHLI kariah yang tidak terpilih menunaikan solat Jumaat adalah tidak berdosa dan tidak wajib menunaikannya.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, ahli kariah yang tidak terpilih hendaklah menggantikan dengan solat Zohor di tempat masing-masing.

"Sebagai umat Islam, kita perlu akur biarpun ketetapan itu amat berat untuk diterima oleh semua umat Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Tamyes berkata, Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (pemimpin) dari kalangan kamu." (Surah al- Nisa' : 59).

"Selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan berkuat kuasa hari ini, solat Jumaat dibenarkan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang di 39 masjid di Selangor.

"Dengan mengambil kira perkembangan terkini wabak Covid-19 yang masih belum ada penawar, langkah pencegahan untuk menjaga keselamatan dan nyawa tetap diteruskan berdasarkan prinsip maqasid syariah.

"Oleh itu, ahli kariah yang tidak mendapat jemputan atau terpilih mendirikan solat Jumaat maka tidak wajib menunaikannya dan tidak berdosa serta hendaklah menggantikan dengan solat Zohor di tempat masing-masing," katanya.

Beliau berkata, ulil amri bertanggungjawab melaksanakan langkah pencegahan yang terbaik demi menjaga kemaslahatan umum bertepatan dengan kaedah fiqh.

"Menghindarkan perkara yang membawa kerosakan adalah lebih utama dari mendapatkan kebaikan.

"Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar wabak ini segera diangkat dan kita semua dapat menunaikan solat Jumaat dengan lebih banyak bilangan masjid yang akan dibuka," katanya.

Berita berkaitan

Ramai cuba nasib solat Jumaat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 7:14 PM