MUHYIDDIN merekodkan bacaan suhu badan sebelum memasuki masjid. FOTO ihsan FB Muhyiddin Yassin
MUHYIDDIN merekodkan bacaan suhu badan sebelum memasuki masjid. FOTO ihsan FB Muhyiddin Yassin
Suraya Roslan


PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan sikap jemaah dan pengurusan masjid yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menunaikan solat Jumaat hari ini.

Melalui pemerhatian beliau, semua SOP diikuti dengan baik oleh jemaah yang berbaris, membawa sejadah dan duduk dalam jarak satu meter.

"Daripada pemerhatian saya, pengurusan masjid memastikan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi.

"Lebih membanggakan saya, jemaah juga mematuhi peraturan yang dilaksanakan dengan tertib.

"Jemaah dilihat memberikan kerjasama yang baik dengan berbaris dan merekodkan bacaan suhu badan masing-masing sebelum dibenarkan memasuki masjid, malah mereka membawa sejadah sendiri dan duduk dalam jarak satu meter antara jemaah di dalam saf," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Muhyiddin menceritakan pengalamannya yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, hari ini.

"Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, selepas masjid dan surau Jumaat dibuka semula.

"Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, masjid dan surau Jumaat tidak dibuka untuk aktiviti solat berjemaah sebaliknya umat Islam disaran menggantikan solat Jumaat dengan Zohor di rumah," katanya.

Menurutnya, beliau berdoa situasi Covid-19 di Malaysia semakin reda dan pulih sepenuhnya bagi membolehkan seluruh umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid dan surau seperti sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 5:49 PM