MAYAT Jonathan ak Madang dibawa oleh anggota bomba. FOTO Norsyazwani Nasri
MAYAT Jonathan ak Madang dibawa oleh anggota bomba. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

LELAKI yang hilang ketika menaiki sampan di Nanga Sengkabang Matau, Sungai Machan, Kanowit sejak Rabu lalu, ditemui terapung pagi ini.

Mayat Jonathan ak Madang, 40, ditemui lima kilometer dari lokasi kejadian pada 9.45 pagi dan dicam oleh waris mangsa sebelum dibawa ke rumah panjang Tuai Rumah Maria Sebie ak Nyanai.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat Jonathan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Dengan penemuan mayat ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga hari ini ditamatkan 10.45 pagi ini.

"Mangsa dilaporkan hilang selepas keluar rumah dipercayai pergi ke sungai Sekabang jam 5.30 pagi, Rabu lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, Tiong berkata kehilangan mangsa dikesan selepas perahu miliknya hanyut dan ditemui penduduk bagaimanapun mangsa tiada di dalam perahu terbabit.

"Usaha mengesan mangsa dibuat penduduk sekitar, namun hanya menemui jejak dipercayai tapak kaki mangsa di sekitar tebingan sungai lokasi perahu mangsa ditemui.

"Petang Rabu lalu, waris mangsa membuat laporan polis dan SAR dimulakan," katanya.

Turut serta dalam operasi SAR itu ialah polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 4:00 PM