JEMAAH menunaikan solat Jumaat mengikut SOP MKN di Masjid Putra, Putrajaya. Masjid Putra menerima 1,600 jemaah yang mempunyai kod QR selepas membuat permohonan secara dalam talian. FOTO Luqman Hakim Zubir
JEMAAH menunaikan solat Jumaat mengikut SOP MKN di Masjid Putra, Putrajaya. Masjid Putra menerima 1,600 jemaah yang mempunyai kod QR selepas membuat permohonan secara dalam talian. FOTO Luqman Hakim Zubir
Samadi Ahmad


"SAYU dan sedih bila lama tak mengimamkan makmum yang ramai," kata Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Ikmal Zaidi Hashim.

Hari ini lebih 1,000 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan selepas pengurusan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ikmal Zaidi berkata, beliau sayu ketika membacakan ayat al-Quran sudah lama tidak mengimamkan jemaah dengan jumlah yang ramai.

"Alhamdulillah hari ini negara beralih kepada 'normal baharu' dengan melonggarkan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan jemaah dapat kembali hadir solat berjemaah," katanya.

Katanya, pihak masjid berpuashati kerana jemaah memberi kerjasama dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan bantuan kakitangan bagi melancarkan proses pembukaan masjid.

"Peringkat permulaan ini kita memberi peluang seramai 1,000 jemaah dan Inshalllah akan diperluas sehingga 1,600 orang pada minggu hadapan berdasarkan kapisiti yang ditetapkan kerajaan," katanya kepada media hari ini.

Sementara itu seorang jemaah, Mansur Muda, 66, berkata dia sayu kerana dapat solat berjemaah di masjid lebih-lebih lagi mendengar alunan surah yang dibacakan imam.

Mansur yang berasal dari Kuala Nerus, Terengganu datang menziarahi anaknya di Presint 9 berkata, dia sangat bertuah kerana sudah lama tidak menunaikan solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Saya memuji pengurusan masjid kerana memberi keutamaan dan laluan khas kepada warga emas untuk menunaikan solat di samping mengadakan SOP ketat kepada jemaah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 3:47 PM