Hayati Ibrahim dan Yusmizal Dolah Aling


PENANGGUHAN ibadat haji tidak akan menjejaskan giliran bakal haji yang sudah terpilih tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, ini kerana giliran mereka akan dibawa ke tahun hadapan.

"(Giliran) mereka akan dibawa ke tahun hadapan dan begitulah seterusnya, kita akan cuba sebaik mungkin.

"Bagaimanapun, rayuan haji yang sudah diluluskan Lembaga Tabung Haji (TH) dianggap terbatal, dan bakal jemaah boleh membuat rayuan semula tahun depan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

SUASANA di Makkah pada Mei lalu. FOTO AFP
SUASANA di Makkah pada Mei lalu. FOTO AFP

Beliau berkata, bakal jemaah boleh mendapat semula bayaran untuk menunaikan ibadah haji yang sudah dibayar kepada TH.

Ditanya sama ada penangguhan itu akan membolehkan kuota haji bertambah tahun hadapan, Zulkifli berkata, semua keputusan bergantung kepada kerajaan Arab Saudi.

"Insya-Allah, jika diizinkan selepas selesai wabak ini, kita akan mengunjungi Arab Saudi untuk berbincang dan membina hubungan lebih baik, termasuk membincangkan isu seperti ini (kuota haji)," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 5:05 PM