Zuliaty Zulkiffli


LELAKI disyaki mengalami masalah mental dipercayai membakar rumahnya sendiri sehingga kediaman itu musnah di Taman Seri Pantai, Anak Bukit, Alor Setar, hari ini.

Lelaki berusia 34 tahun itu yang hanya berseluar panjang tanpa baju dikatakan turut menghalang anggota bomba untuk memadam kebakaran pada 9.20 pagi.

Jirannya, Muazah Yaacob, 70, berkata, lelaki itu baru keluar dari pusat pemulihan dadah lima bulan lalu dan tinggal di rumah itu seorang diri.

Beliau berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu melalui kumpulan WhatsApp sebelum terdengar siren jentera bomba di hadapan rumah.

"Tak ada letupan atau asap ketika itu dan saya terus keluar rumah sebelum ternampak api sedang menyambar bahagian dalam rumah berkenaan.

"Mujur anggota bomba cepat sampai jika tidak mungkin api menyambar rumah bersebelahan deretan rumah lelaki itu," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Taman Seri Pantai. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Taman Seri Pantai. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Berikutan itu, lelaki terbabit ditahan polis dan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.33 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah tiba di lokasi pada 9.40 pagi.

"Operasi disertai 15 anggota, dua penyelia dan seorang pegawai bersama dua jentera dan sebuah motosikal RIM.

"Api berjaya dikawal lapan minit kemudian dan anggaran kemusnahan 90 peratus," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi turut disertai dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya dan Taman Mutiara seramai 11 orang.

Beliau berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 2:46 PM