Zuhainy Zulkiffli


POLIS menumpaskan kumpulan penjenayah yang aktif memecah masuk taska di sekitar dua daerah di Pulau Pinang sejak Mac lalu.

Penahanan tujuh lelaki dilakukan di dua lokasi berasingan di Sungai Nibong antara 5 hingga 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 28 tahun.

Katanya, suspek dipercayai terbabit dengan tiga kes pecah taska di daerah Timur Laut dan empat lagi di Barat Daya.

"Seorang daripada suspek bertindak melarikan diri ketika serbuan di apartmen di Jalan Tun Dr Awang, Sungai Nibong dengan cuba turun dari tingkat lima ke tingkat empat menerusi tingkap ke rumah yang tidak berpenghuni.

"Namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berjaya menurunkan suspek terbabit sebelum diserah kepada polis," katanya hari ini.

Susu yang dirampas Maqis di Pelabuhan Klang kerana gagal mengemukakan permit import semalam. Foto Ihsan Maqis
Susu yang dirampas Maqis di Pelabuhan Klang kerana gagal mengemukakan permit import semalam. Foto Ihsan Maqis

Soffian berkata, kerugian daripada kegiatan pecah taska itu dianggarkan berjumlah RM16,000.

Katanya, enam daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati lima daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

"Polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat bagi menumpaskan kegiatan ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek sudah ditahan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 11:14 AM