Asrizal Aris


GELARAN 'Abah' untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; 'Pak Long' untuk Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; dan 'Pak Ngah' (Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) menjadi sebutan netizen sejak beberapa hari lalu.

Gelaran yang diberikan netizen di media sosial itu nyata menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sudah memasuki hari ke-100 dekat di hati rakyat dan menerapkan konsep kekeluargaan.

Kerajaan PN menerajui pentadbiran negara sejak 1 Mac dengan menggalas tanggungjawab paling besar di saat negara dilanda krisis kesihatan akibat penularan pandemik Covid-19 namun berjaya mengambil hati rakyat.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Menteri Kanan (Keselamatan) di Putrajaya semalam turut memetik gelaran yang diberikan netizen itu dalam ucapannnya.

"Saya baca komen netizen yang kata walaupun 'Abah' (Perdana Menteri) sudah umumkan sesuatu yang menggembirakan, namun mereka yakin 'Pak Long Mail' (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan memberikan sekatan-sekatan.

"Mungkin petang nanti 'Pak Ngah Hisham' (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) pula akan lakukan. Apa akan dilakukan tidak lain ialah untuk jaga keselamatan dan kesihatan tuan-tuan dan keluarga tuan-tuan semua serta masyarakat," katanya.

Sementara itu, rata-rata pelayar YouTube meninggalkan komen positif pada video ucapan Ismail Sabri itu yang disiarkan Harian Metro semalam.

Pelayar YouTube, max jojo berkata, dia bersyukur kerana rakyat memiliki Perdana Menteri dan menteri kanan yang menyayangi rakyatnya dalam menangani wabak Covid-19.

"Syukur alhamdulillah kami bersyukur kerana akhirnya kami dapat ABAH yang betul sayang kat kami.

"Kami PATUH dan kami akur pada perintah Abg Ngah Hisyam dan Abg Long Mail," tulisnya.

Pena minda juga meluahkan pendapat yang sama dan bersyukur berada di bawah pentadbiran kerajaan sekarang.

"Kami rasa bersyukur sangat dibawah naungan Abah, Pak Long dan Pak Ngah. Keceriaan kami kembali menyinar.

"Abah kita elok jer bagi duit belanja dan kemudahan lain. Pak Long dengan Pak Ngah siap kawal lagi demi kesihatan," katanya.

Nura Suraya pula berkata, Perdana Menteri tidak sanggup menerangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkini kerana tidak mahu mematahkan kegembiraan rakyat.

"Abah memang sayang kat anak-anak. Tak sampai hati nak terangkan demi rasa gembiranya anak-anak. So, Pak Long Mail dengan Abang Ngah Hisyam tolong perjelaskan.

"Kami terima dengan hati yang terbuka untuk kebaikkan semua rakyat Malaysia," katanya.

Ali bin Rahim turut melontarkan pendapatnya tersendiri dengan memetik gelaran yang diberi.

"Prihatinnya ABAH ada kasihnya, Garangnya Pak Long ada sayangnya dan Tegasnya Pak Ngah ada nasihatnya," tulisnya.

Raisha Sha2 pula berkata Perdana Menteri sebagai 'Abah' sudah pasti menyayangi anak dan tidak mahu bertegas lalu memberikan tugas menasihat kepada Pak Long dan Pak Ngah.

"Abah sayang anak anak, Pak Long yang sulung jadi dia kena tegas sikit, Pak Ngah pulak penasihat keluarga jadi memang terasa dilindungi betul keluarga Malaysia kita ni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 11:20 AM
(DARI kiri) Muhyiddin, Ismail Sabri dan Dr Noor Hisham. FOTO Bernama
(DARI kiri) Muhyiddin, Ismail Sabri dan Dr Noor Hisham. FOTO Bernama