Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENETAPAN prosedur operasi standard (SOP) susulan Covid-19 bagi perkhidmatan gunting rambut mampu menaikkan kredibiliti dan profesionalisme industri berkenaan.

Pemilik Sohibussaif Barber Shop, Fazlee Mohd Nordin, 44, berkata, aspek kebersihan yang mungkin sebelum ini kurang diberi fokus sebaliknya menjadi prosedur wajib untuk pengusaha kedai gunting rambut kini.

Menurutnya, ia secara tidak langsung menaikkan mutu perkhidmatan dari segi kebersihan dan kesihatan pelanggan serta pengusaha.

"Sejak memulakan perniagaan gunting rambut empat tahun lalu, aspek kebersihan peralatan dan lokasi sudah saya titik beratkan untuk keselesaan pelanggan antaranya mencuci gunting dan sikat menggunakan cecair anti septik.

"Jadi pengenalan SOP baru oleh kerajaan ini tidak mendatangkan masalah kerana sudah dipraktikkan saya sebelum ini. Namun ia akan ditambah baik seperti yang termaktub dalam arahan," katanya yang menjalankan perniagaan di Putra Height, Subang Jaya, Selangor.

Beliau berkata, walaupun berlaku penambahan kos kerana perlu membeli cecair nyah kuman, pelitup muka, sarung tangan dan perisai muka serta apron pakai buang namun ia perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas bagi memastikan industri ini lebih baik khususnya ketika pandemik ini masih ada dalam komuniti.

Katanya, apa yang lebih penting industri ini kembali aktif dan pengusaha menarik nafas lega selepas hampir tiga bulan buntu tanpa pendapatan.

FAZLEE melakukan persediaan sebelum memulakan operasi Khamis ini. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
FAZLEE melakukan persediaan sebelum memulakan operasi Khamis ini. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque

"Kos mungkin akan meningkat antara RM5 hingga RM10 untuk setiap pelanggan namun ia dianggap masih relevan dengan penambah baikan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana memberi kebenaran kepada pengusaha gunting rambut untuk kembali beroperasi kerana ia akan merancakkan semula ekonomi domestik.

"Syabas juga kepada Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) dan semua pihak yang terbabit kerana berterusan berjuang menyediakan SOP baru bagi meyakinkan kerajaan supaya memberi kebenaran untuk industri ini kembali aktif," katanya yang akan memulakan semula perniagaan Khamis ini.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan operasi gunting rambut, cuci rambut, cukur misai dan jambang, solekan dan dandanan rambut, pedicure, menicure dan cuci muka dibenarkan bermula Khamis ini.

Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah penggunaan apron pakai buang untuk setiap pelanggan adalah perlu dan tukang gunting juga perlu menggunakan perisai muka dan sarung tangan ketika menggunting rambut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 3:07 PM