MOHD NOR SAID ketika ditemui di premisnya di Jalan Sekolah Derma sebelum pelaksanaan PKP. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
MOHD NOR SAID ketika ditemui di premisnya di Jalan Sekolah Derma sebelum pelaksanaan PKP. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SUKA atau tidak, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ke atas pengusaha gunting rambut perlu dipatuhi supaya pengoperasian kedai dapat dipulihkan semula.

Itu luahan tukang gunting rambut tradisional, Mohd Nor Said, 80, ketika ditanya mengenai arahan oleh Kementerian Kesihatan supaya pengusaha mengenakan apron, pelitup muka dan sarung tangan ketika memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

Mohd Nor berkata, arahan perlu dipatuhi untuk memastikan kedainya dapat beroperasi selepas lebih dua bulan tidak dibuka.

"Kita patuh sahajalah demi kebaikan bersama, apa yang disuruh itu saya akan buat, malah ketika ini juga saya sedang membuat persiapan seadanya.

"Kedai saya sudah diambil semula pemiliknya dan kini saya terpaksa beroperasi di rumah dan semestinya peluang yang diberikan kerajaan tidak akan saya lepaskan.

"Malah saya akan menetapkan penjarakan sosial antara pelanggan selain meminta mereka menelefon terlebih jika ingin gunting rambut," katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi Khizairi Khizan, 38, dia akur dengan arahan itu meskipun terpaksa mengeluarkan kos bagi menyediakan peralatan baharu seperti set apron dan sarung tangan.

"Daripada tiada apa langsung, baik saya terima sahajalah untuk peringkat permulaan ini kerana kedai pun sudah hampir tiga bulan tidak dibuka kepada pelanggan tetapi caj sewa tetap berjalan," katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan kedai gunting rambut dan salun kecantikan dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun, dengan SOP ketat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 3:03 PM