PENGUSAHA Macaroni Chess Bakar di Kampung Dato Lundang, Kota Bharu, Vivi Sumanti Che Ahmad, 43, bersama dua anaknya menyaksikan pengumuman Perdana Menteri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENGUSAHA Macaroni Chess Bakar di Kampung Dato Lundang, Kota Bharu, Vivi Sumanti Che Ahmad, 43, bersama dua anaknya menyaksikan pengumuman Perdana Menteri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Shamran Sarahan dan Raja Noraina Raja Rahim


"SYABAS kepada petugas barisan hadapan dan anda semua yang menyumbang kepada kejayaan kita membendung wabak Covid-19."

Penghargaan itu dizahirkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini memberikan hasil terbaik apabila kadar jangkitan Covid-19 di negara menunjukkan trend penurunan.

Beliau berkata, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperlihatkan kadar jangkitan tempatan terkawal dengan kebanyakan kes dicatatkan sejak kebelakangan ini adalah kes import dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di depot tahanan imigresen.

"Kita bersyukur kerana tindakan pantas petugas barisan hadapan berjaya membendung penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan di depot imigresen dan keadaan pada masa ini adalah terkawal.

"Pada masa yang sama, kapasiti perubatan dan kesihatan awam negara kita juga berada pada tahap lebih baik dan meyakinkan.

"Ini menunjukkan Malaysia berjaya membendung penularan Covid-19 dengan berkesan dan kini sedang memasuki fasa pemulihan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kejayaan itu juga disebabkan oleh kerjasama rakyat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Kejayaan ini adalah kejayaan anda semua.

"Anda memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan sepanjang PKP dan PKPB dilaksanakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 5:08 PM