Balqis Jazimah Jazimah Zahari


LAPANGAN Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh membuat penerbangan pertama ke Singapura hari ini selepas dihentikan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia adalah pesawat penumpang pertama membabitkan penerbangan ke luar negara dilakukan sepanjang tempoh berkenaan di Perak.

"Ia membabitkan satu penerbangan sahaja hari ini. Tarikh penerbangan kemasukan penumpang dari Singapura kita belum mendapat pengesahan lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nolee Ashilin berkata, namun begitu kerajaan negeri ketika ini dalam persediaan untuk menyediakan tempat untuk tujuan pematuhan kuarantin bagi penumpang.

Sementara itu, Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman pula berkata, seramai 32 penumpang berlepas daripada lapangan terbang pada jam 1.10 petang.

"Kami menerima sebanyak 53 tempahan tiket tetapi hanya 32 yang menaiki penerbangan pada hari ini.

"Pesawat hari ini memang hanya membabitkan penumpang 'departure' sahaja dan tiada 'arrival'. Penerbangan membabitkan pesawat Fly Scoot TR 481 ke Singapura," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan penerbangan mengambil tempoh perjalanan selama 1 jam 20 minit dan dijangka tiba pada jam 2.30 petang waktu tempatan.

Ibu kepada salah seorang penumpang, B Sarasvathi, 49, berkata, anak tunggalnya yang melanjutkan pengajian di Nanyang Polytechnic dalam jurusan kejururawatan di negara itu akhirnya dapat pulang semula selepas dua bulan.

"Sepatutnya dia hanya bercuti selama sebulan bermula Februari tetapi kerana PKP dia masih berada di sini.

"Dia memberitahu yang dia memang sudah tidak sabar dan bersyukur dapat pulang semula menyambung pengajian kerana tidak mahu menangguhkan pengajian lebih lama," katanya.

Katanya, anaknya yang mendapat biasiswa tajaan sepenuhnya daripada kerajaan Singapura kini memasuki tahun ketiga iaitu tahun terakhir pengajian sebelum ditawarkan untuk bekerja di negara itu.

Tinjauan di lapangan terbang mendapati setiap penumpang membuat pemeriksaan suhu di hadapan pintu masuk utama sebelum masuk ke ruang menunggu.

Pintu masuk dikawal ketat dengan hanya penumpang sahaja dibenarkan masuk, manakala media yang tiba hanya menunggu di luar pintu masuk lapangan terbang berkenaan.

PENUMPANG yang mahu berlepas ke Singapura mendaftar masuk dan diperiksa suhu sebelum dibenarkan masuk ke ruang menunggu di dalam Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS). FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
PENUMPANG yang mahu berlepas ke Singapura mendaftar masuk dan diperiksa suhu sebelum dibenarkan masuk ke ruang menunggu di dalam Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS). FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 3:30 PM