HELIKOPTER Super Lynx MK100 daripada Skuadron 501 berlepas dari kapal KD LEKIU bagi melaksanakan Op Benteng. FOTO BERNAMA
HELIKOPTER Super Lynx MK100 daripada Skuadron 501 berlepas dari kapal KD LEKIU bagi melaksanakan Op Benteng. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KOLABORASI Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pelbagai agensi penguat kuasa memberi impak positif dalam membendung pencerobohan pendatang tanpa izin (Pati) dan mengekang jenayah rentas sempadan sepanjang Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).

Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Lekiu, Kapten Shaiful Nizam Abdul Manan berkata, menerusi pendekatan bersepadu OP Benteng, pasukan keselamatan berjaya memberi tekanan kepada kumpulan itu bahawa kerajaan serius dan tidak leka melindungi keselamatan perairan dan kedaulatan negara ini.

"Sebagai contoh pada 16 April lepas, TLDM bersama tentera udara berjaya memintas 200 pendatang tanpa izin daripada menceroboh masuk ke perairan negara.

"Ini menunjukkan kejayaan serta semangat kebersamaan dilakar anggota keselamatan dalam menghindari bot asing dari masuk ke perairan negara," katanya kepada Bernama yang mengikuti OP Benteng bagi mengawasi perairan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di sekitar perairan Selat Melaka Utara, semalam.

Mengulas lanjut, Shaiful Nizam berkata TLDM dan agensi penguat kuasa lain turut kekal memberi memberi tumpuan dalam mengawal pelbagai ancaman supaya tidak mendatangkan sebarang implikasi besar ketika negara dilanda wabak Covid-19.

ANGGOTA TLDM memantau  perairan negara. FOTO BERNAMA
ANGGOTA TLDM memantau perairan negara. FOTO BERNAMA

Sebelum ini, OP Benteng diaktifkan di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi mandat menyelaras operasi kawalan persempadan negara bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Mengulas mengenai perubahan besar bakal dilakukan kerajaan berhubung pengambilan pekerja asing dan kawalan terhadap Pati pasca Covid-19, beliau berpandangan tindakan itu diambil ekoran situasi keselamatan di rantau ini sentiasa berhadapan dengan ancaman yang dinamik khususnya di Selat Melaka.

"Jadi, pendekatan diambil kerajaan (terhadap dasar itu) memberi impak besar terhadap senario keselamatan negara pada masa ini khususnya bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ketika negara dilanda Covid-19," katanya.

Shaiful Nizam berkata, perubahan besar dalam kawalan terhadap Pati merupakan satu mesej yang jelas menunjukkan bahawa isu berkenaan serius dan perlu ditangani segera.

"Oleh demikian, kami akan sentiasa menumpukan pendekatan OP Benteng ini secara bersepadu dalam mengawal ancaman luar untuk tidak mendatangkan sebarang implikasi besar kepada negara," katanya.

Pada Khamis lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Malaysia bakal menyaksikan perubahan besar dalam dasar pengambilan pekerja asing dan kawalan terhadap Pati pasca Covid-19.

Beliau berkata, sudah tiba masanya dasar itu disemak semula susulan warga asing yang dilihat sebagai antara kumpulan menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negara ini serta beberapa negara lain termasuk Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:01 AM