TIGA tual balak yang cuba dipindahkan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
TIGA tual balak yang cuba dipindahkan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


MENGAMBIL kesempatan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat aktiviti menceroboh Komparment 27 Hutan Simpan Jengka, Pahang untuk projek pertanian seluas lebih dua hektar dikesan yang didalangi penduduk setempat.

Namun, tindakan segera Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera berjaya menghalang perbuatan itu dalam serbuan kelmarin.

Pegawai PHD Temerloh dan Bera, Azmi Abdul Rahman berkata, pemeriksaan dilakukan turut mendapati pihak terbabit turut menceroboh tanah kerajaan seluas lebih satu hektar yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Jengka.

Menurutnya, kerjasama orang awam yang membuat aduan kegiatan berkenaan menjadi pencetus kepada kejayaan mengesan aktiviti yang dipercayai didalangi penduduk setempat.

"Serbuan yang diketuai Pengawas Hutan Mohd Khairul Ismail bersama 10 anggota bertindak tegas dengan menyita jengkaut dipercayai digunakan untuk meneroka dan membersihkan kawasan hutan terbabit.

"Kita turut menemui tiga tual balak yang sedia untuk dipindahkan. Pihak ini dipercayai sudah lama merancang untuk meneroka kawasan terbabit dan mereka mengambil kesempatan PKP untuk melakukan kerja terbabit," katanya di Temerloh.

Beliau berkata, jentera dan balak yang disita itu disimpan di pusat simpanan barangan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Pejabat Hutan Ladang Kemasul, Temerloh sebelum tindakan seterusnya dilakukan.

Azmi menambah, pihak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terbabit dengan aktiviti menceroboh hutan simpan.

"Tindakan tegas menanti individu yang cuba mencabar undang-undang sedia ada.Sejak PKP kegiatan menebang balak secara haram untuk dijadikan kayu bergergaji bertambah, mereka cuba mengambil kesempatan selain beranggapan anggota penguatkuasa tidak bertugas.

"Saya mengingatkan mereka yang bercadang melakukan aktiviti salah supaya tidak meneruskan rancangan berkenaan bagi mengelak diberkas kerana aktiviti rondaan dilakukan secara berjadual terutama membabitkan kawasan panas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 2:35 PM