DATUK Norazlan Mohd Razali.
DATUK Norazlan Mohd Razali.
Mahaizura Abd Malik


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat satu laporan polis berhubung kenyataan palsu dikeluarkan pembantu peribadi, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali berkata, pihaknya sedia memberikan kerjasama serta meminta polis menyiasat perkara berkenaan dengan telus.

"SPRM ingin merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kehormat Youth Power Club, Siti Nurul Hidayah pada satu rakaman video seperti yang disiarkan menerusi Facebook Bersatu TV pada 5 Jun lalu.

"SPRM menolak sekeras-kerasnya dakwaan itu yang menyatakan penama diugut, diherdik dan dipaksa untuk memberikan keterangan seperti yang dinyatakan dalam video berkenaan

"Sehubungan itu, SPRM akan membuat satu aduan polis terhadap tohmahan ini sekali gus meminta pihak polis menyiasat perkara ini setelus-telusnya selain bersedia memberikan kerjasama dalam perkara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kehadiran wanita itu secara sukarela sebagai antara saksi utama yang memberikan keterangan penting dalam membantu SPRM menyiasat kes berkaitan kehilangan RM250,000 di rumah bekas menteri itu.

"Dakwaan mengatakan dia dikerumuni empat atau lima pegawai lelaki dan diugut adalah rekaan semata-mata.

"Sebaliknya sepanjang masa proses rakaman pernyataan dibuat, dia ditemani dua pegawai wanita," katanya.

Semalam, Siti Nurul Hidayah dalam sidang media mendakwa, pegawai yang menyiasatnya mengherdik dan menggelarnya babi dan bodoh selain mengarahkannya berdiri sebelah kaki dan angkat kedua tangan ke atas dan jika penat boleh tukar kaki lain ketika proses soal siasat.

Dakwa wanita itu, pegawai terbabit hampir menamparnya dan seorang lagi menyepak kerusi yang didudukinya dengan kuat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 12:11 PM