Hayati Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 196 tapak binaan di seluruh negara diperiksa semalam, dengan tiga daripadanya diberi amaran kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemeriksaan dilakukan Lembaga Pembangunan Industri

Pembinaan Malaysia (CIDB) membabitkan 194 penguat kuasa.

"Pemeriksaan mendapati 93 daripadanya mematuhi SOP. Dua lagi tapak binaan diarah tutup, dan bakinya 85 lagi tapak binaan tidak beroperasi.

"Secara kumulatif sebanyak 6,559 tapak binaan sudah diperiksa oleh CIDB sehingga hari ini," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, 1,211 tapak binaan didapati mematuhi SOP dan 288 lagi tidak patuh serta diberi amaran.

Katanya, penguat kuasa CIDB sudah mengarahkan 10 tapak binaan ditutup kerana tidak mematuhi SOP, manakala 5,050 lagi belum beroperasi.

"Seperti yang saya sebutkan (sebelum ini), satu daripada syarat untuk beroperasi adalah pekerja tapak binaan terutama warga asing mesti dibuat saringan kesihatan iaitu ujian swab.

"Sehingga hari ini lebih 30,000 warga asing yang berkerja di tapak binaan di Wilayah Persekutuan dan Selangor sudah disaring," katanya.

PEKERJA warga asing melakukan kerja ketika tinjauan tapak pembinaan sekitar Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEKERJA warga asing melakukan kerja ketika tinjauan tapak pembinaan sekitar Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 2:36 PM