Setiap kanak-kanak di Taska Perbadanan Putrajaya akan diperiksa suhu tiga kali sehari.
Setiap kanak-kanak di Taska Perbadanan Putrajaya akan diperiksa suhu tiga kali sehari.
Suraya Roslan


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan pemantauan dari masa ke semasa terhadap taska yang mula beroperasi bagi memastikan pengusaha taska mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya membuat pembentangan dan mendapat kelulusan daripada KKM bagi Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA).

"Panduan yang diluluskan ini ditambahbaik dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak dan demi kesejahteraan mereka terbabit.

"Sehubungan itu, taska sudah boleh beroperasi berpandukan kepada panduan ini yang dibangunkan ini meliputi pengoperasian taska bermula dari persediaan untuk membuka semula taska, semasa taska beroperasi dan selepas selesai sesi harian," katanya.

Menurutnya, pengusaha taska dinasihatkan supaya merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan terlebih dahulu untuk pengesahan sebelum mula beroperasi.

"Diharapkan dengan pembukaan semula taska ini, dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa bekerja yang sebelum ini terkesan dengan penutupan taska akibat pandemik Covid-19 dan PKP," katanya dalam Majlis Penyampaian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada KPWKM sempena PKP Covid-19 di Putrajaya tadi.

Dalam majlis itu, KPWKM menerima sumbangan daripada tiga badan korporat iaitu Set Personal Protective Equipment (PPE) daripada Briged Negaraku berjumlah RM10,000 dan Persatuan Wanita Unity Malaysia (PERWIM) yang berjumlah RM12,000 serta satu unit mesin pengimbas suhu dan pengimbas wajah bertopeng (UNV Intelligent Temperature Measurement Facial Control).

daripada PROTASCO Berhad.

Sehingga kini, sebanyak 2,779 NGO memberikan sumbangan yang secara keseluruhannya bernilai RM21 juta yang memberi manfaat kepada 402,876 isi rumah.

Penyerahan kepada penerima berdasarkan aduan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Talian Kasih 15999, rujukan NGO dan juga rujukan Pemimpin Tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:56 PM